ANALISIS KEPERLUAN KAUNSELING TERHADAP M

 0  0  14  2018-09-14 11:25:53 Report infringing document

  

ANALISIS KEPERLUAN KAUNSELING TERHADAP MASALAH

PENCERAIAN. KAJIAN KES KUALITATIF DI

  • MOHAMED SHARIF MUSTAFFA, Ph.D & ROSLEE AHMAD

  Jabatan Pendidikan Sosial, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai

  ABSTRAK

  Kajian ini cuba meninjau dan menganalisis keperluan perkhidmatan kaunseling di kalangan pegawai-pegawai agama yang bertugas sebagai kaunselor di Jabatan Agama Islam Negeri Johor. (JAIJ). Skop kajian ini berkisar kepada punca-punca yang menyumbang kepada penceraian dan pendekatan yang digunakan oleh kaunselor untuk membantu pasangan yang akan bercerai. Seramai empat pergawai agama merupakan responden kajian ini. Kajian dilakukan dalam bentuk pemerhatian, sesi temu bual dan analisis dokumen. Hasil keputusan mendapati bahawa penceraian akan memberi kesan terhadap jasmani, emosi dan rohani dikalangan pasangan suami isteri dan anak-anak. Pengkaji turut mendapati bahawa keperluan perkhidmatan kaunseling di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) bagi membantu pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumahtangga.

  • Kertas kerja Peringkat Kebangsaan dibentangkan di Seminar Kebangsaan Kaunseling Berperspektif Islam pada 1-3 Mei 2003 di Hotel Langkawi, Kedah. Anjuran Universiti Utara Malaysia, Sintok, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

  PENGENALAN

  Perkahwinan merupakan satu fitrah yang amat penting dalam kehidupan manusia. Sejarah perkahwinan berlaku kepada manusia pertama iaitu Adam a.s. dan Hawa. Mereka telah dikahwinkan oleh Allah swt. Bermula dari itu maka terbentuklah satu institusi kekeluargaan yang pertama di muka bumi ini. Fiman Allah yang bermaksud,

  

“Wahai sekelian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah

menciptakan kamu daripada satu unsur (Adam) dan daripadanya Allah

menciptakan isterinya (Hawa). Daripada kedua-duanya Allah memperbiakkan

lelaki dan perempuan yang banyak dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan

namaNya kamu saling meminta antara satu dengan lain dan peliharalah

silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu. ”

  (An-Nisa: 1) Perkahwinan disyariatkan dalam agama Islam bertujuan mengekalkan generasi manusia di muka bumi agar tidak pupus. Mewujudkan pergaulan yang harmoni dalam rumahtangga amat perlu bagi mencapai matlamat dunia perkahwinan yang dibina. Firman Allah yang bermaksud,

  “… dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik … ( An-

  nisa : 19) Fungsi utama institusi keluarga adalah untuk menjamin kewujudan suasana dalam mana nilai-nilai hidup yang murni dapat tumbuh dan berkembang dalam diri setiap ahli keluarga. Melalui institusi ini, kerahiban atau hidup membujang yang berlawanan dengan fitrah kemanusiaan dibanteras, benih-benih dan keturunan manusia dipelihara, penyakit-penyakit merbahaya yang menular disebabkan perhubungan seks yang liar dihapuskan, ketenteraman rohani dan naluri diperkukuhkan dan pendidikan anak-anak untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah diutamakan. Dalam sistem yang utuh, pembinaan keluarga adalah berdasarkan beberapa asas seperti pemilihan pasangan berlandaskan agama, kewujudan rasa kasih sayang, keadilan dan persamaan dan jaminan sosial. (Abdullah 1988 dalam Nik Aziz, 1991).

  Penceraian pula adalah perkara yang dibenarkan tetapi mempunyai implikasi yang besar kepada individu yang terlibat dan komuniti sekitarnya. Krisis rumahtangga lazimnya bukan berpunca daripada satu sebab tetapi berpunca daripada beberapa sebab. Jika anda mendapati bahawa rumahtangga anda gagal menguasai kemahiran komunikasi, misalnya, anda tidak boleh membuat kesimpulan bahawa inilah yang merupakan satu-satunya sebab mengapa rumahtangga anda mengalami krisis, sehinggalah anda membuat satu analisis yang terperinci dan merasa puas hati bahawa tidak ada sebab lain yang menyebabkannya. (Nik Aziz, 1991). Persoalannya ialah bagaimanakah masalah penceraian ini dapat dielakkan atau dihindarkan daripada berlaku kepada terutamanya kepada pasangan-pasangan yang ingin bercerai.

  Latar Belakang Masalah

  Rumahtangga yang bahagia adalah idaman semua orang tetapi kebahagian ini bukanlah satu jelmaan yang datang dengan sendiri bahkan ianya adalah hasil usaha yang sungguh-sungguh dari kedua-dua iaitu suami dan isteri (Raimah, 1990).

  Ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud,

  

“Bahawa tidak ada sesuatu bagi manusia itu melainkan apa yang

diusahakannya” (Al- Baqarah:286)

  Tidak semua rumahtangga yang dibina itu mencapai matlamat kebahagiaannya sebaliknya kadang-kadang rumahtangga yang bahagia pada mulanya bertukar menjadi suram, perselisihan dan seterusnya kehancuran. Krisis rumahtangga beerti permasalahan yang berlaku dalam rumahtangga samada masalah besar atau kecil dan jika tidak diatasi dengan segera ianya akan menjadi seperti benih yang tinggal di akar pokok, lama-kelamaan benih ini akan merebak seterusnya akan mematikan pokok yang rending (Raimah 1990). Pelbagai faktor yang mungkin menyumbang ke arah penceraian dari generasi ke generasi. Apa yang pasti kesan penceraian dirasai oleh semua pihak yang terlibat samada suami isteri anak-anak mahupun masyarakat. Perbezaannya mungkin dari segi peratusan atau tahap yang dirasakan oleh pihak yang terlibat samada secara lansung atau tidak dan melibatkan jasmani, emosi dan rohani.

  Seringkali sesebuah keluarga menghadapi masalah kekeluargaan yang rumit seperti anak lari dari rumah, bapa mengabaikan keluarga, ibu bencikan anak-anaknya, anak terlibat salah laku dan lain-lain. Jikalau seorang mengalami masalah ianya akan tersebar ke seluruh sistem keluarga. Seorang ibu yang terpaksa bekerja kuat dan menghadapi tekanan di tempat kerja kemudian mengalami masalah di rumah lantas membenci seisi keluarga kerana tanggapannya mereka itu tidak memahami peranan serta hubungan kekeluargaan. Masalah ini jika tidak diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab akan membawa ke arah konflik keluarga atau penceraian di antara suami dan isteri (Nik Aziz, 1991).

  Peningkatan kes-kes penceraian yang dirujuk di Jabatan Agama Islam menunjukkan keadaan masyarakat pincang dari struktur asas dan fungsi masyarakat. Keadaan ini perlu dicari punca masalah dan jalan penyelesaian yang berkesan. Tindakan dan usaha ini dapat mempastikan tidak ada anak-anak yang menjadi mangsa keretakan rumah tangga seterusnya akan membentuk satu masyarakat yang lebih kronik daripada apa yang ada pada hari ini. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor bagi tahun 2001 sebanyak 1096 pasangan dari seluruh negeri Johor memohon untuk bercerai. Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 378 permohonan untuk bercerai diikuti oleh Daerah Batu Pahat 174 kes, Kluang 149 kes, Muar 122 kes, Segamat 112 kes, Kota Tinggi 83 kes dan Mersing 78 kes. Menurut kaunselor daripada Jabatan Agama Islam Johor apabila permohonan ini dikemukakan biasanya tindakan nasihat atau kaunseling adalah sukar untuk diterima dan tindakan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Johor adalah menerangkan kepada pasangan terbabit tentang prosedur yang perlu diikuti untuk proses penceraian. Dengan kata lain pasangan yang memohon untuk bercerai biasanya tidak boleh dihalang lagi. (2002, sumber Unit Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Johor)

  Analisa jumlah kes yang dikendalikan oleh kaunselor di jabatan agama dalam setahun berbanding jumlah klien yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan dari pelbagai kategori masalah adalah seperti berikut. Jumlah hari bekerja setelah ditolak cuti hujung minggu, cuti Sabtu minggu pertama dan ketiga, juga cuti yang layak dimohon oleh kakitangan setahun ialah 253 hari daripada 365 hari. Andaian bahawa seorang kaunselor boleh mengendalikan tiga kes sehari, empat kaunselor hanya akan dapat mengendalikan 3036 kes daripada 4843 yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan (2002, sumber Unit Nikah dan Cerai Jabatan Agama Islam Johor). Menurut sumber itu lagi, sebanyak 4843 kes yang dikendalikan sepanjang tahun 2001 yang melibatkan pelbagai masalah seperti tanggungjawab suami isteri, tuntutan nafkah, campurtangan keluarga isteri atau suami, poligami, penderaaan isteri atau suami, penagihan dadah, isteri ingkar dan khidmat nasihat. Kes-kes yang dirujuk biasanya serius dan boleh menjurus kepada penceraian jika jalan penyelesaian terbaik tidak diperolehi.

  Ini bermakna bukan sahaja tidak semua klien dapat dibantu malah seorang klien hanya dapat berjumpa sekali sahaja setahun. Matlamat asal bukan bilangan kes yang diperlukan tetapi jumlah penyelasaian yang dapat dilakukan. Keadaan akan lebih membimbangkan jika faktor keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang diberikan diambil kira. Daripada data yang diperolehi kebanyakan kaunselor di Jabatan Agama Islam Johor hanya mengikuti kursus kaunseling jangka pendek sahaja.

  Dalam era globalisasi kini, keluarga juga sering dianggap oleh sesetengah pihak terutamanya di Barat sebagai institusi yang mengongkong kebebasan individu (terutama kebebasan seks muda mudi), sebagai penjara kepada wanita (isteri) kerana terperangkap dengan tugas tradisi sebagai pengurus rumahtangga (homemaker) dan sebagai institusi yang meruntuhkan sifat keindividuan (individuality) (Elliot, 1986 dalam Yaacob 2002). Sebagai tindakbalas untuk membebaskan diri dari “kongkongan” keluarga, maka berlaku amalan perzinaan, seks bebas, homoseks, bersedudukan, kehamilan tanpa nikah, pembuangan bayi, deraaan (anak, suami atau isteri), konflik keluarga dan pelbagai kegiatan anti-sosial yang lain. Gejala negatif seperti ini bukan merupakan sesuatu yang asing bagi orang Melayu. Malah ia menjadi gejala yang kian meningkat dan berleluasa terutamanya di bandar-bandar.

  Menurut Atkinson dalam Mahmood (1989), terdapat tiga kaedah yang paling kerap digunakan dan mendapat tumpuan pakar sesi terapi keluarga. Pertamanya membantu pasangan atau ahli keluarga melahirkan perasaan yang mereka hadapi. Keduanya ialah membentuk satu kefahaman dan kepekaan terhadap kehendak ahli keluarga. Akhir sekali mempelajari cara yang lebih berkesan dan sesuai dalam mengurus konflik yang dihadapi.

PERSOALAN KAJIAN

  Tiga persoalan kajian yang akan cuba dijelaskan untuk tujuan kajian iaitu:

  1. Apakah bentuk pengetahuan kaunseling yang diperlukan bagi membantu kaunselor di dalam menangani kes-kes pasangan yang ingin bercerai?

  2. Apakah bentuk kemahiran-kemahiran kaunseling yang diperlukan oleh kaunselor di dalam menangani kes-kes pangan yang ingin bercerai?

KEPENTINGAN KAJIAN

  Hasil kajian ini digunakan oleh Pegawai Kaunseling di Jabatan Agama Islam negeri seluruh Malaysia dalam mengendalikan kes-kes pasangan suami isteri yang ingin bercerai dengan pendekakatan yang lebih relevan. Di samping itu hasil kajian ini nanti dapat menjadi garis panduan kepada pegawai kaunseling untuk memberikan perkhidmatan kaunseling keluarga yang lebih professional dan boleh diterima oleh masyarakat. Hasil kajian ini juga diharapkan dapat digunakan oleh pegawai kaunseling di Jabatan Agama Islam untuk menyemak semula dari segi keperluan yang diperlukan khususnya untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang akan diberikan. Akhir sekali hasil kajian ini dapat membantu Pegawai Kaunseling di Jabatan Agama Islam memberikan perkhidmatan kepada klien dan dapat mengurangkan bebanan emosi isteri atau suami bagi mengurangkan berlakunya kes-kes penceraian.

BATASAN KAJIAN

  Kajian ini dijalankan di Jabatan Agama Islam Johor. Pegawai Kaunseling seramai empat orang akan dijadikan bahan kajian dalam kajian ini. Kajian ini tidak melibatkan pegawai-pegawai kaunseling yang menjalankan tugas mereka di peringkat daerah. Kajian ini merupakan kajian kes dan hasil kajian ini tidak boleh dibuat generalisasi terhadap semua perkhidmatan kaunseling yang dijalankan di jabatan-jabatan agama negeri yang lain. Namun perbandingan mungkin boleh dibuat berdasarkan ciri-ciri klien persekitaran dan latar belakang pendidikan pegawai yang sama. Tiada alat penyelidikan yang khusus kecuali alat perakam suara yang digunakan untuk rakaman sesi kaunseling dan temubual pengkaji bersama pegawai kaunseing dalam kajian ini. Kajian akan dilakukan dalam bentuk pemerhatian, sesi temu bual dan analisis dokumen.

REKABENTUK KAJIAN

  Responden kajian ini ialah semua kaunselor yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan kaunseling kepada pasangan suami isteri di Jabatan Agama Islam, Johor. Pasangan yang dipilih adalah mereka yang berkonflik dan ingin bercerai. Kajian ini merupakan kajian kualitatif pelbagai kes. Dalam kajian ini pengkaji cuba menganalisa pendekatan yang digunakan dalam menangani konflik keluarga. Pengkaji percaya bahawa pendekatan kajian kes yang digunakan dalam kajian ini akan dapat mengenalpasti pendekatan yang digunakan oleh kaunselor di dalam membantu pasangan suami isteri yang terlibat. Pengkaji akan menganalisa secara kualitatif mengenai cara kaunselor membimbing, berinteraksi dan mengendalikan proses kaunseling secara “nature”. Diharapkan satu hasil kajian boleh diperolehi dalam memberi kefahaman yang mendalam mengenai perkhidmatan kaunseling yang diberikan kepada pasangan suami isteri yang ingin bercerai. Terdapat beberapa kelebihan menggunakan kaedah kualitatif. Yin (1995) menyatakan, bentuk kajian pelbagai kes ialah kejadian yang dikaji wujud dalam sudut yang berlainan dan setiap satu boleh jadi perkara dalam individu kajian kes.

PEMILIHAN KES

  Sampel yang dipilih adalah semua kaunselor yang bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Johor seramai 5 orang. Pemilihan daerah Johor Bahru sebagai sampel berbanding peringkat negeri Johor walaupun di lokasi yang sama ialah kerana kaunselor ini lebih banyak mengendalikan sesi kaunseling berbanding kaunselor di peringkat negeri Johor. Kesemua kaunselor mempunyai pengalaman di antara 1 hingga 5 tahun bekerja dan berlatarabelakang pengajian Islam di peringkat ijazah pertama. Pengkaji akan menggunakan pelbagai sumber maklumat untuk mengukuhkan dapatan kajian seperti dokumen dan rekod, pemerhatian dan temuramah. Merriam dalam Sharif (2001) menyatakan kekuatan pengumpulan data bagi kajian kes ialah penggunaan pelbagai sumber data sebagai bukti. Dalam kajian ini pengkaji akan mengambil 5 orang kaunselor yang mengendalikan kes yang berkait dengan konflik keluarga. Pengkaji mengendalikan kajian melalui analisis dokumen, pemerhatian dan temuramah bagi kaunselor yang pertama. Seterusnya bagi kaunselor yang berikutnya prosedur yang sama diikuti.

KAEDAH PENGUMPULAN DATA

  Kajian ini akan melibatkan pengumpulan data daripada pelbagai sumber dan jenis. Pertamanya demografi kaunselor yang terlibat dikumpulkan bagi mengenalpasti pengalaman dan latar belakang kaunselor. Jenis data yang kedua dikumpulkan berdasarkan kepada pemerhatian yang akan dijalankan dalam sesi kaunseling. Pengkaji tidak akan bertanya pandangan kaunselor mengenai sesi kaunseling tetapi membuat pemerhatian secara lansung sesi yang akan dijalankan. Selepas itu pengkaji akan mengadakan temuramah dengan kaunselor selepas sesi kaunseling untuk mendapatkan pandangan kaunselor terbabit mengenai sesi kaunseling yang dijalankan. Kemudian pengkaji akan membuat perbandingan di antara pemerhatan yang dilakukan dan temuramah yang dijalankan selepas sesi kaunseling yang dijalankan oleh kaunselor. Seterusnya terhadap semua kaunselor yang akan terlibat dalam kajian ini. Setiap kaunselor akan dibuat pemerhatian sekurang-kurangnya 2 kali mengikut keperluan iaitu jika dirasakan data yang diperolehi tidak lengkap atau bercanggah. Temuramah yang dijalankan selepas sesi kaunseling bersama kaunselor selepas pemerhatian dilakukan. Temuramah bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklumat tambahan dari pemerhatian yang dijalankan bagi menjawab persoalan kajian. Cara ini berguna untuk mendapatkan data dengan banyak lebih cepat. Data yang diperolehi akan ditapis dengan membuat perbandingan antara pemerhatian pengkaji dan pandangan kaunselor semasa temubual. Jenis pengumpulan data terakhir ialah analisis dokumen dan rekod. Pengkaji akan mengumpul data dari pelbagai sumber termasuk rekod perkhidmatan kaunseling, program kaunseling yang dijalankan kepada klien, buku log, rekod maklumat kursus kaunseling yang dihadiri oleh kaunselor dan laporan sesi yang telah dijalankan oleh kaunselor.Maklumat yang lengkap membolehkan pengkaji mampu membina dan menyokong kenyataan dapatan dari kajian yang akan dijalankan dalam masa yang sama dapat mengurangkan ralat. Kesimpulannya pelbagai jenis data yang berbeza akan menjadikan maklumat yang diproses lebih mendalam.

PROSEDUR PENGUMPULAN DATA

  Pengumpulan data akan dijalankan mengikut peringkat-peringkat atau prosedur yang ditetapkan. Proses pertama ialah pra-kajian, diikuti oleh kajian rintis, kajian sebenar, pemerhatian, temuramah, dokumen analisis, menyemak data dan penemuan. Kitaran proses pengumpulan data penyelidikan ditunjukkan dalam rajah 1.

  Rajah 1: Kitaran proses dalam proses pengumpulan data Kajian Rintis Kerja Lapangan Pra Kajian Pemerhatian Penemuan Temuramah Menyemak Data Dokumen Analisis Pra-kajian

  Proses pertama yang akan dilakukan sebelum kajian dijalankan ialah memohon kebenaran daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Johor berserta salinan kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Johor. Bagi memastikan pengkaji mendapat kerjasama yang baik, perbincangan dengan pegawai yang terlibat akan diadakan bagi menerangkan etika dan skop kajian ini. Di samping itu permohonan juga perlu dibuat kepada kementerian, jabatan pendidikan yang berkaitan dengan tugas hakiki pengkaji.

KAJIAN RINTIS

  Pengkaji akan mengendalikan kajian rintis kepada kaunselor di jabatan yang sama tetapi tidak terlibat dengan kajian sebenar. Tujuan kajian rintis dilakukan ialah bagi membantu pengkaji membina plan pengumpulan data dan prosedur kajian. Ini akan memudahkan pengkaji mengatur dan membina soalan-soalan yang berkaitan, membina kerangka kajian dan menjalankan kajian sebenar. Dalam kajian rintis juga pengkaji akan menyemak dokumen-dokumen, pemerhatian terhadap sesi kaunseling dan mengadakan perbincangan dengan kaunselor berkenaan

  KERJA LAPANGAN Pengkaji akan berjumpa dengan 4 orang kaunselor yang terlibat dalam kajian ini.

  Dalam pertemuan pertama pengkaji akan mengatur masa dan tempat pertemuan. Pengkaji juga akan menerangkan tentang sesi pemerhatian, sesi perbincangan dan dokumen yang akan dikumpulkan. Apabila melakukan kerja lapangan bermakna pengkaji akan mengadakan hubungan yang personal dengan pegawai yang terlibat dalam situasi mereka. Yin (1994) menyatakan bahawa kejayaan dan kegagalan pengumpulan data dalam kajian kualitatif bergantung kepada sejauhmana tahap keterlibatan dalam keadaan sebenar dan menjadi rakan kerja kepada sampel dalam kajian.

  PEMERHATIAN

  Untuk kajian ini pengkaji akan duduk bersama kaunselor jabatan agama bersama kliennya dan membuat pemerhatian bagaimana beliau mengadaptasi dan mengaplikasikan teori kaunseling dalam sesi kaunseling yang dijalankan. Pengkaji ingin mengetahui bagaimana sesuatu teori diaplikasikan untuk memahami dan membantu menyelesaikan masalah kliennya.

DOKUMEN ANALISIS

  Data-data dalam kajian ini diperolehi daripada pengalaman sebenar pegawai kaunseling yang terlibat semasa mengendalikan perkhidmatan kaunseling kepada pasangan samada suami atau isteri. Data-data diperolehi dengan cara pemerhatian pengendalian sesi kaunseling yang dijalankan oleh pegawai kaunseling, temubual secara separa stuktur yang dibuat di antara pengkaji dengan pegawai kaunseling selepas sesi kaunseling dijalankan serta analisis dokumen serta rekod perkhidmatan kaunseling yang direkodkan sebagai sokongan kepada data-data yang diperolehi melalui temubual dan pemerhatian yang dijalankan.

  KESIMPULAN

  Pengkaji mendapati bahawa hasil keputusan mendapati bahawa penceraian akan memberi kesan terhadap jasmani, emosi dan rohani dikalangan pasangan suami isteri dan anak-anak. Pengkaji turut mendapati bahawa keperluan perkhidmatan kaunseling di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) bagi membantu pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumahtangga. Di samping itu, pengkaji berasakan pendekatan teori yang digunakan haruslah sesuai berdasarkan pengetahuan asas pegawai agama berkenaan dan juga latar belakang klien. Keeempat-empat pegawai kaunseling telah mengadaptasikan teori dan pendekatan Barat dengan pengetahuan dan pendekatan Islam. Di samping itu, terdapat beberapa masalah kepada pasangan berkenaan seperti kebanyakan klien yang datang telah ada keputusan dan proses kaunseling hanya untuk memujuk jika klien boleh ubah fikiran, kebanyakan klien yang datang sudah ada konflik yang serius dan hanya ingin menuntut cerai, Perlu tempat yang lebih selesa untuk meningkatkan imej perkhidmatan kaunseling, untuk meningkatkan kemahiran kaunseling mesti melalui peningkatan pengetahuan kaunseling, kaunseling sebenarnya Islamic tetapi telah dibukukan oleh sarjana dari Barat, masa begitu terhad berbanding klien yang menunggu dan agak sukar untuk diselamatkan daripada berlu perceraian dan setting bilik kaunseling memang tidak sesuai langsung dengan kehendak perkhidmatan kaunseling kerana kelihatan terlalu rasmi atau formal. Masalah-masalah berkenaan diharap perlu difikirkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) demi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling kepada pasangan suami isteri pada masa akan datang.

  RUJUKAN

  Basri Ibrahim. 1997. Pemantapan Sistem Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Darul Nu’man. Boisvert, Jean-Marie; Ladouceur, Robert. 1995. Perception of Marital Problems and of Their Prevention by Quebec Young Adult. Journal of Genetic Psychology. (156) 1, 12 & 33. Corliss, Richard; McLaughlin, Lisa. 2002. Does Divorce Hurt Kids? Time (159) 4, page 1, 2, 44. Decker, Jonathan P. 1996. Wedding Checklist: Couples Add Premarital Counseling. Christian Science Monitor. (88)110, page 1 & 12. Fritz, Gregory K. 2002. Children of Divorce: A Fresh Perpective. Brown University Child & Adolecent Behavior Letter. (16) 12, page 1 & 8. Gold, Joshua M. 1997. Assesment Education in Marriage and Family Counseling. Family Journal. (5) 2, page 5 & 159. Heaton, Tim B.; Cammack, Mark. 2001. Why is the Divorce Rate Declining in Indonesia? Journal of Marriage & Family. (63) 2, page 11 & 480.

  Jacquet, Susan E.; Surra, Catherine A. 2001. Parental Divorce and Premarital Couples: Commitment and Other Relationship Charecteristic. Journal of Marriage & Family. (63) 3, page 12 & 627.

  Mackey, Richard A.; O’Brien, Bernard A. 1998. Marital Conflict Management: Gender and Ethnic Differences. Social Work. ( 43) 2, page 14 & 128. Magnuson, Sandy; Norem, Ken. 1997. Marital Counseling: An Intergrated Brief Therapy Approach. Family Journal (5), 4, page 4 & 235. Mahmud Yunus. 1973. Tafsir Quran Karim. Djakarta: P.T. Hidakrya Agung. Nik Aziz Nik Pa. 1991. Keluarga Sejahtera Sebagai Landasan Bagi Realisasi Wawasan 2020. Jurnal Kebajikan. (13) 2. Nock, Steven L. 2002. The Problem With Marriage. Society. (36) 5, page 8 & 20. Sayger, Thomas V; Bowersox, Michelle P. 1996. Family Therapy and Treatment of Chronic Illness in a Multidisciplinary World. Family Journal, (4) 1, page 10-12. Wolf, Cheksea T; Stevens, Patricia 2001. Intergrating Relegion and Sprituality in Marriage and Family counseling. (46) 1, page 10 & 66. Watts, Richard E. 1995. How I Remember My Family: A Premarital/ Marriage Counseling Questionnaire. Family Journal, (3) 2, page 3 & 155.

Dokumen baru
Aktifitas terbaru
Penulis
123dok avatar

Berpartisipasi : 2018-08-08

Dokumen yang terkait
Tags

Analisis Pengaruh Laba Bersih Terhadap M

Persepsi Guru Terhadap Keperluan Serta P

Keluarga Di Abad Ke 21 Keperluan Terhadap

Analisis Parameter Kualitas Air Untuk Keperluan Air Bersih Analisis Kinerja Sistem Antrian M M

Apa Itu Kaunseling Kaunseling Sains

Analisis Peningkatan Kinerja Pemasaran M

Analisis Implementasi Sistem Informasi M Keperluan Wanita Keperluan Ospek

ANALISIS KEPERLUAN KAUNSELING TERHADAP M

Gratis

Feedback