Pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional

 0  0  8  2018-09-16 23:07:21 Report infringing document

PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (SLDN) DI KOLEJ

  a b

  Akhmal Annas Hasmori Jailani Md Yunos

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan

Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn

Malaysia

  Malaysia c d

  

Rohana Hamzah Noor Hisham Jalani

Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Fakulti Pendidikan Teknikal dan Malaysia Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

a b

akhmalannas@yahoo.com , jailani@uthm.edu.my , anahaiqal@yahoo.com,

d

jnhisham@gmail.com

  ABSTRACT

This preliminary study aimed to get the overview of National Dual Training System (NDTS) held in

Southern Regions’ Vocational Colleges (VC) and henceforward to identify gap and opportunity

towards empowerment the quality of current high potential skill training system. The participants of

this study consist of two Officers from Southern Regions’ Department of Skills Development (DSD)

and two Officers of Southern Regions’ VC. Data collected from the interviews were coded and

analysed to answer research objectives and research questions set. There are four main components

that are the focus in this preliminary study which are the current status of implementation of the

NDTS; methods of implementation and evaluation of NDTS; methods of application and assessment

of Social Skills and Social Values’ competency; and how the quality of Social Skills and Social Values’

competency can be enhanced in the implementation of NDTS at Southern Regions’ Vocational

Colleges. The overall outcomes of this preliminary study find that the implementation of NDTS at

Southern Regions’ VC already on the right track and very potential in producing competent Holistic

K-Workers in this country. However, there are some aspects contained in National Educational

Philosophy (NEP) which have long admired in this country have been identified as having potential to

be integrated into this current skills training system. This holistic integration process thus seen to have

great potential in improving the NDTS Holistic K-Workers’ competency developed in this country.

  

Keywords: National Dual Training System (NDTS), Vocational College (VC), Holistic K-Workers,

National Educational Philosophy (NEP).

  ABSTRAK

Tujuan utama kajian awal ini dijalankan adalah untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berkenaan

pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dijalankan di Kolej Vokasional (KV) Wilayah

Selatan dan seterusnya mengenalpasti ruang dan peluang ke arah memperkasakan lagi kualiti sistem

latihan kemahiran berpotensi tinggi yang sedia ada ini. Peserta kajian ini terdiri daripada dua orang

Pegawai dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Selatan dan dua orang Pegawai dari

KV Wilayah Selatan. Data yang dikumpul dari temubual telah dikodkan dan dianalisis bagi menjawab

objektif dan persoalan kajian yang telah ditetapkan. Terdapat empat komponen utama yang menjadi

fokus dalam kajian awal ini iaitu status terkini pelaksanaan SLDN; kaedah pelaksanaan dan penilaian

SLDN; kaedah penerapan dan penilaian kompetensi Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial; dan

bagaimana kualiti kompetensi Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial dapat dipertingkatkan dalam

pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan. Dapatan menyeluruh daripada kajian awal yang dilakukan

ini mendapati bahawa pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan telah berada pada landasan yang

betul dan amat berpotensi dalam melahirkan K-Pekerja Holistik yang kompeten di negara ini. Namun

yang demikian, terdapat beberapa aspek yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan

(FPK) yang telah sekian lama disantuni di negara ini telah dikenalpasti mempunyai potensi untuk

diintegrasikan ke dalam sistem latihan kemahiran sedia ada ini. Proses integrasi holistik ini

seterusnya dilihat mempunyai potensi yang besar dalam mempertingkatkan lagi kualiti kompetensi K-

Pekerja Holistik SLDN yang dibangunkan di negara ini.

  

Kata Kunci: Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Kolej Vokasional (KV), K-Pekerja Holistik,

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

1. PENGENALAN

  Kemajuan dalam pengetahuan tentang tingkah laku manusia dan matlamat sebenar sebuah kehidupan telah menjadikan sesebuah pekerjaan itu pada masa kini tidak lagi hanya dilihat sebagai kaedah pencarian sumber rezeki semata-mata. Ianya kini juga tidak dilihat sebagai kaedah peningkatan taraf ekonomi serta status seseorang individu itu kerana ianya sudah berkembang menjadi perkara yang lebih luas dan melampaui keperluan melahirkan tenaga kerja sahaja (Salleh, 2010). Pekerjaan atau kerjaya telah diberi nafas baru yang mana ianya dianggap sebagai sebuah pengalaman yang mempunyai kaitan rapat dengan pilihan gaya hidup, dorongan psikologi dan kesannya terhadap kesejahteraan individu dan komuniti. Oleh yang demikian, dalam meningkatkan lagi taraf seseorang pekerja di negara ini, pelbagai inisiatif dan perancangan telah dilakukan bagi memenuhi konsep atau idea modal insan yang sering disebutkan pada masa kini. Konsep modal insan merupakan suatu konsep yang berasal daripada model ekonomi kapitalisme sumber manusia yang mementingkan hubungan di antara elemen produktiviti dan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan sumber manusia (Borham, Abidin, Ahmad, & Razak, 2011). Antara inisiatif yang telah diambil bagi mencapai cita-cita ini ialah dengan melaksanakan transformasi dalam sistem Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang dijalankan di negara ini.

  Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan satu usaha untuk merekayasa sistem pendidikan vokasional sedia ada sehingga terbina suatu sistem baru yang dapat menyumbang kepada agenda transformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Proses transformasi ini akan dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dengan fasa lonjakan (2011-2013), fasa peningkatan (2014-2016), dan seterusnya fasa pemerkasaan (2017-2020). Secara keseluruhannya, Pelan Strategik TPV merupakan merupakan usaha merekayasa kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus, dan sumber manusia ke arah pembangunan sistem TVET baharu di Malaysia (KPM, 2011). Konsep TPV secara keseluruhannya dapat dilihat pada Rajah 1. Proses transformasi ini diperkukuhkan lagi dengan wujudnya hubungan kerjasama di antara dua agensi kerajaan yang merupakan nadi utama kepada pelaksanaan sistem TVET di Malaysia iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM). Kedua- dua agensi ini iaitu masing-masing melalui Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memetrai perjanjian bersama untuk melaksanakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di beberapa buah Kolej Vokasional yang terpilih. Antaranya ialah pelaksanaan SLDN di semua 79 buah KV di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula tahun 2013, dengan projek rintis telah dilaksanakan di KV Kajang dan KV Sungai Buloh bermula sesi kemasukan pelajar pada 2011/2012. Sejumlah 42 perantis telah menamatkan latihan pada Disember 2012 dengan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3 dan bagi kemasukan 2012/2013 seramai 87 perantis telah mendaftarkan diri (JPK, 2013). Menurut JPK (2013) lagi, pelaksanaan projek rintis ini secara keseluruhannya akan melibatkan 15 buah KV dengan enrolmen seramai 3,500 pelajar dan meningkat kepada 15,000 pelajar pada tahun hadapan. Tempoh pengajian antara dua hingga empat tahun dengan kelulusan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang diiktiraf oleh JPK menawarkan 53 bidang pengajian termasuk pertanian, pelancongan dan penerbangan. Pihak KSM dan KPM juga akan meneruskan kerjasama ini bagi membantu perantis-perantis yang telah menamatkan latihan untuk mendapatkan pekerjaan untuk di syarikat-syarikat yang berdaftar dengan KSM. Secara keseluruhannya, pelaksanaan SLDN di semua KV seluruh negara merupakan satu usahasama yang amat baik dalam menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten dan berkemahiran tinggi, malah berkeupayaan untuk memberi sumbangan secara optimum kepada pembangunan agama, masyarakat, dan negara.

  Rajah 1: Konsep TPV (KPM, 2011) Tujuan utama pelaksanaan SLDN adalah untuk menghasilkan K-Pekerja Holistik yang mana definisinya di Malaysia ialah seorang pekerja yang kompeten dalam bidang teknikal, metodologi pembelajaran, kemahiran sosial dan nilai sosial (Leong, Yunos, & Spottl, 2009; Othman, 2005; Sail et al., 2007). SLDN yang menggunakan konsep dual system dari negara Jerman ini boleh dianggap sebagai satu sistem latihan yang holistik kerana ianya bukan sahaja mementingkan aspek pembangunan kemahiran semata-mata, tetapi sistem ini turut menekankan aspek integrasi di antara pengetahuan, kemahiran, nilai dan bahasa dalam proses pembelajaran. SLDN menggunakan National Occupational Core Curriculum (NOCC) iaitu Kurikulum Teras Pekerjaan Kebangsaan yang dibangunkan berasaskan kepada polisi semasa kerajaan dalam program pembangunan peringkat nasional dan dilakukan oleh sekumpulan pakar dalam sesuatu bidang pekerjaan (Leong et al., 2009). Kompetensi K- Pekerja Holistik SLDN dapat dilihat dalam Rajah 2. Integrasi tiga kompetensi utama iaitu kemahiran teknikal, kemahiran metodologi pembelajaran, dan kemahiran sosial diyakini dapat membentuk beberapa nilai-nilai sosial yang positif (Aripin, 2012).

  Rajah 2: Kompetensi K-Pekerja Holistik SLDN (Sail et al., 2007) Pelaksanaan SLDN di KV ini diharapkan dapat memperkasakan lagi proses pembangunan individu berkemahiran yang berkualiti tinggi. Berkualiti tinggi yang dimaksudkan di sini dapat didefinisikan sebagai seorang pelatih yang bukan sahaja kompeten dalam aspek pekerjaannya semata-mata, tetapi juga kompeten dalam aspek untuk meneruskan kelangsungan iaitu survival dalam keseluruhannya aspek kehidupannya pada jalan yang benar. Ringkasnya, KV dilihat berpotensi untuk menjadi platform terbaik dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai kemanusiaan di dalam latihan kemahiran kepada para pelatih. Hal ini terbukti apabila terdapat beberapa kajian yang telah mengenalpasti elemen kemanusiaan ini sebagai agen pemangkin yang amat berpotensi dalam meningkatkan keberkesanan sesuatu sistem latihan kemahiran. Hal ini juga bertepatan dengan pernyataan Baba (2011) yang menyatakan bahawa modal insan yang berkualiti ialah modal insan yang mempunyai ciri-ciri seperti disiplin akal iaitu minds-on, disiplin hati iaitu hearts-on, dan disiplin amal iaitu hands-

  on.

  2. OBJEKTIF DAN PERSOALAN KAJIAN

  Objektif kajian ini adalah untuk: i. Mendapatkan gambaran keseluruhan tentang pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan. ii. Mengenalpasti potensi dalam membantu JPK untuk meningkatkan kualiti pelaksanaan program SLDN di KV Wilayah Selatan.

  Berdasarkan objektif kajian di atas, persoalan bagi kajian ini adalah: i. Apakah status terkini pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan? ii. Apakah kaedah pelaksanaan dan penilaian SLDN yang dijalankan di KV Wilayah

  Selatan? iii. Bagaimanakah kaedah penerapan kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial dijalankan ke atas pelatih SLDN di KV Wilayah Selatan? iv. Bagaimanakah kualiti kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial pelatih SLDN dapat dipertingkatkan?

  Dapatan kajian ini diharapkan dapat memberi impak yang signifikan kepada JPK dan BPTV amnya dalam meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan SLDN di Kolej Vokasional; dan khususnya memperkasakan lagi kualiti kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial bakal K-Pekerja Holistik SLDN.

  3. METODOLOGI DAN PROSEDUR KAJIAN

  Rekabentuk kajian yang digunakan adalah kualitatif dengan menggunakan kaedah temubual dan analisis dokumen. Sesi temubual telah dijalankan pada 13 April 2014 dan 22 April 2014 masing-masing di bilik mesyuarat JPK Wilayah Selatan dan pejabat KV Wilayah Selatan. Kesemua data dan dokumen juga telah dikutip pada hari yang sama. Etika temubual seperti kerahsiaan, keselesaan, dan professionalisme (Piaw, 2012) sentiasa dipatuhi sepanjang sesi temubual dijalankan. Responden kajian ini terdiri daripada 2 orang pegawai dari JPK Wilayah Selatan dan 2 orang pegawai dari KV Wilayah Selatan. Keempat-empat responden kajian ini merupakan individu professional yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan aspek program SLDN yang dijalankan di KV Wilayah Selatan. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah soalan temubual semi-struktur yang dibangunkan sendiri oleh pengkaji bagi menjawab objektif dan persoalan kajian yang ditetapkan. Analisis data temubual secara manual dimulakan dengan membuat transkripsi lengkap setiap sesi temubual yang dijalankan. Kemudian, transkrip temubual dibaca berulang kali bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh berkenaan isu yang dikaji. Beberapa tema juga telah dibentuk bagi memudahkan proses refleksi dan perbincangan dilakukan (KPM, 2008).

4. DAPATAN KAJIAN

  4.1 Status Terkini Pelaksanaan SLDN

  SLDN merupakan salah satu program latihan kemahiran yang dijalankan oleh JPK dan melalui kerjasama yang dilakukan bersama dengan BPTV, SLDN telah dapat mula dilaksanakan di peringkat KV (JPK, 2013). Sehingga kini, pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan masih lagi bergiat aktif dengan penglibatan 4 buah KV dengan sejumlah 115 orang perantis berdaftar dari pelbagai kursus. Antara kursus yang ditawarkan ialah Juruteknik Kenderaan Motor, Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Pembuat Perabot, Juruteknik Elektrik Rendah, Peralatan Penyamanan Udara HVAC, Proses Shielded Metal Arc Welding, dan Penyediaan dan Pembuatan Makanan. Salah seorang responden yang terlibat turut menyatakan bahawa “KV kami merupakan antara perintis pelaksanaan SLDN bagi KV

  

wilayah selatan yang telah mula dijalankan pada tahun 2013 dan masih lagi aktif sehingga

kini“. Hal ini merupakan sesuatu yang positif kerana boleh memberi peluang yang sama

  kepada pelatih-pelatih KV Wilayah Selatan yang berminat untuk mengikuti program SLDN ini.

  4.2 Kaedah Pelaksanaan Dan Penilaian SLDN

  SLDN menggunakan kurikulum latihan yang dibangunkan berdasarkan kepada National

  

Occupational Skills Standard (NOSS) yang dibentuk oleh pakar dalam sesuatu bidang

  latihan pekerjaan. Ringkasnya, kandungan kurikulum SLDN adalah seperti berikut; Training

  

Occupation atau Latihan Pekerjaan, Occupational Profile atau Profil Pekerjaan,

Occupational Core Work Processes atau Teras Pekerjaan dan Proses Kerja, Core

Competencies atau Kompetensi Teras, Training Content Outline atau Panduan Kandungan

  Latihan, dan Learn and Works Assignments (LWA) atau Tugasan Kerja dan Belajar (Sail et al., 2007). Daripada sesi temubual yang dijalankan, pengkaji telah dimaklumkan bahawa “Kerjasama di antara BPTV dan JPK sebenarnya telah bermula sejak lama dahulu iaitu

  

semasa menjalankan kursus-kursus SKM”. Hal ini menunjukkan bahawa, kedua-dua badan

  ini telah mempunyai pengalaman dan rekod yang baik dalam menjalankan program bersama. Daripada kajian ini, pengkaji juga telah dimaklumkan bahawa proses penilaian SLDN adalah satu proses untuk menilai tahap pencapaian keterampilan seseorang perantis yang mengikuti program ini. Keterampilan perantis pula merangkumi Kompetensi Teknikal, Pembelajaran dan Metodologi, dan Kompetensi Sosial dan Kemanusiaan. Penilaian juga akan dilakukan dengan pelbagai kaedah yang telah digariskan oleh kedua-dua pihak iaitu pihak KV dan pihak Industri yang terlibat. Sistem penilaian adalah penting untuk dilaksanakan bagi memastikan seseorang perantis itu telah mencapai tahap keterampilan yang standard dan layak untuk penganugerahan Sijil. Hal ini turut telah disahkan oleh salah seorang responden yang meyatakan bahawa “SLDN yang dilaksanakan di KV ini mengikuti

  

sepenuhnya struktur pelaksanaan dan penilaian yang telah distandardkan oleh JPK, untuk

memastikan setiap daripada mereka benar-benar kompeten”.

  Antara kekuatan SLDN yang dijalankan pada peringkat awal seperti pada peringkat KV ini ialah, proses integrasi kemahiran sosial dan nilai sosial dalam kurikulum teknikal yang dilihat berpotensi dalam memenuhi permintaan serta kehendak daripada industri atau majikan. Hal ini terbukti apabila salah seorang responden menyatakan bahawa “Keunikan SLDN ini

  

sendiri ialah kita cuba masukkan juga kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial, yang

juga akan dinilai bersama-sama dengan industri”. Ringkasnya, SLDN dianggap sebagai satu

  sistem latihan teknikal dan juga sistem latihan kemanusiaan yang mana ianya telah menjadi satu kekuatan SLDN sendiri apabila sistem ini dapat menggabungkan kedua-dua kompetensi yang penting ini pada masa yang sama dalam satu sistem latihan.

  4.3 Kaedah Penerapan Kompetensi Kemahiran Sosial Dan Nilai Sosial

  Proses penerapan kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial dalam SLDN dijalankan dengan menggunakan sebuah buku panduan yang telah diterbitkan oleh KSM Malaysia sendiri. Buku ini telah ditulis oleh sekumpulan pakar dalam kaedah pelaksanaan dan penerapan kemahiran sosial dan nilai sosial dalam latihan kemahiran di Malaysia ini (Sail et al., 2007). Menurut salah seorang responden yang terlibat, “Buku inilah yang digunakan

  

sebagai panduan oleh tenaga pengajar atau coach untuk membantu pelatih dari aspek

kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial di dalam setiap sesi latihan yang dijalankan”.

  Berdasarkan Rajah 1 di atas, Kemahiran Sosial yang cuba diterapkan ialah kemahiran komunikasi, konsepsual, interpersonal, pembelajaran, kepimpinan, melaksanakan pelbagai tugas mengikut keutamaan, disiplin diri, dan kerja berpasukan. Manakala Nilai Sosial pula terdiri daripada semangat kebersamaan, kepatuhan, kerjasama, keberanian, ketekunan, rasa terima kasih, jujur, adil, ketelitian, kesederhanaan, sabar, budi bahasa, tepat masa, rasional, rasa hormat, dan berdikari. Berdasarkan perkongsian yang dilakukan oleh salah seorang responden yang terlibat, perubahan ketara dari aspek kemanusiaan ini memang boleh dilihat telah berlaku pada pelajar-pelajar yang mengikuti program SLDN ini. Beliau berkata “Pernah ada satu kumpulan pelajar yang baru balik dari

  

industri ini, bila sampai waktu solat terus ajak semua solat bersama, kalau dulu mesti kena

tunggu saya yang suruh”. Beliau turut menyatakan bahawa, di samping perubahan dalam

  aspek akademik atau kemahiran, perubahan-perubahan aspek sebegini juga adalah penting dalam pembangunan kompetensi setiap pelatih-pelatih yang terlibat. Menurut beliau, “Pelatih kita juga manusia, bukannya mesin”.

  4.4 Peningkatan Kualiti Kompetensi Kemahiran Sosial Dan Nilai Sosial

  Di antara kekuatan pelaksanaan SLDN di peringkat KV berbanding di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang lain ialah wujudnya keperluan untuk menerapkan nilai-nilai FPK ke dalam setiap pelatih yang terlibat. Hal ini kerana, keseluruhan pengoperasian KV, BPTV, dan pembangunan potensi pelatih itu sendiri masih lagi tertakluk kepada falsafah pendidikan yang telah ditetapkan oleh KPM sejak sekian lama (PPK, 1988). Ringkasnya, teras-teras yang terkandung di dalam FPK ialah:

  “Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha yang berterusan ke arah

  

memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu

untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani,

rohani, emosi, dan intelektual berasaskan kepercayaan dan keyakinan kepada

Tuhan

  (Ismail & Hassan, 2009)

  Pengkaji juga telah mencuba untuk mendapatkan pandangan daripada responden yang terlibat berkenaan potensi untuk mengintegrasikan nilai-nilai yang terkandung di dalam FPK terutamanya aspek Ketuhanan dengan aspek Kemanusiaan yang cuba diterapkan dalam SLDN. Di antara maklumbalas yang diterima ialah “Idea ini memang merupakan sesuatu

  

yang bagus, namun yang demikian, kita mungkin akan menerima sedikit kesukaran dan

halangan daripada pihak industri, sebab kita kena faham industri ni business oriented”.

  Seterusnya, “Penerapan aspek ketuhanan ini sememangnya merupakan sesuatu yang amat

  

baik jika diterapkan dalam latihan kemahiran, namun ianya memerlukan kerjasama positif

dari seluruh komuniti, termasuklah ibu dan bapa pelajar, bukan dari pihak sekolah sahaja”.

  Pandangan Beliau ini dilihat bertepatan perhatian yang dinyatakan oleh Hamzah (2010) yang menyatakan bahawa pada masa kini kita sering menyaksikan pelbagai masalah yang berlaku dalam komuniti adalah disebabkan oleh kejatuhan nilai kemanusiaan yang dibangunkan atas dasar kemajuan sains dan teknologi yang terpisah dengan nilai agama (Hamzah, 2010).

  Seterusnya, pengkaji juga telah mendapatkan pandangan responden berkenaan dengan kaedah yang terbaik untuk menerapkan integrasi nilai Ketuhanan dan Kemanusiaan ini kepada pelatih SLDN di KV. Di antara pandangan yang diberikan ialah “Mungkin

  

penggunaan modul khas ke arah aspek tersebut perlu diwujudkan, dan pembangunan

modul itu sendiri mestilah dilakukan dengan teliti terlebih dahulu”. Beliau turut menyatakan

  bahawa “Kalau boleh pelaksanaan modul kepada pelatih itu nanti di outsource kan bagi

  

meminimumkan beban kepada pihak KV sendiri atau pihak industri”. Pada akhir sesi

  temubual yang dijalankan, kesemua responden yang terlibat telah menyatakan aspirasi dan harapan yang sangat positif berkenaan bagaimana potensi pelaksanaan SLDN di KV ini dapat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan pendekatan yang bersepadu ini. Pendekatan sebegini adalah sangat penting kerana ia merupakan proses menanamkan kefahaman tentang kesihatan spiritual secara teoritikal, praktikal, dan empirikal melalui proses pendidikan dan latihan bagi menjamin perkembangan akal budi yang sejahtera setiap pelatih yang terlibat (Aripin, Hamzah, Othman, & Norihan, 2011; Baba, 2006, 2011).

5. REFLEKSI DAN PERBINCANGAN

  Daripada data temubual yang dilakukan, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan SLDN pada peringkat awal seperti di KV Wilayah Selatan ini sememangnya mempunyai potensi yang amat besar. Hal ini kerana, pada peringkat awal remaja para pelatih telah diberikan peluang pendedahan kepada aspek World of Work yang sebenar. Perkara seperti ini sememangnya merupakan sesuatu yang amat baik serta bertepatan dengan konsep

  

Technical and Vocational Education and Training (TVET) itu sendiri yang menekankan

  aspek persediaan untuk pekerjaan (UNESCO, 2012). Namun yang demikian, kita juga perlu berhati-hati dengan sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang pada masa kini dilihat semakin memberi fokus kepada pencapaian akademik yang berasaskan pengetahuan intelektual dan kemahiran semata-mata.

  Aspek pembangunan potensi spiritual atau kejiwaan seseorang pelatih itu semakin kurang diberikan perhatian. Akibatnya, perkara ini menjadi tidak ubah seperti kilang pelajar yang cemerlang peperiksaan namun tidak mampu menyumbang secara optimum kepada proses pembangunan keilmuan dan seterusnya tidak terbuka untuk menghayati proses pembangunan diri secara berterusan (Baba, 2011; Hamzah, 2010). Komponen-komponen Kemanusiaan dan Ketuhanan juga seringkali dilihat dari perpekstif yang terpisah-pisah dalam subjek yang tertentu sehingga menyukarkan pelatih untuk membuat perkaitan antara subjek, nilai, dan pembangunan akhlak yang ingin diterapkan melalui sistem latihan yang dilalui (Aripin, 2012). Hal ini ternyata bertentangan dengan strategi pembangunan menyeluruh yang terdiri daripada aspek perpaduan nasional, kualiti hidup dan nilai spiritual (Yunos, Ahmad, Kaprawi, & Razally, 2005).

  Oleh yang demikian, pengkaji menyimpulkan bahawa pelaksanaan sistem latihan yang amat berpotensi tinggi seperti SLDN di platform awal pendedahan seperti pada peringkat KV ini merupakan ramuan yang terbaik dalam membangunkan modal insan berkualiti di negara ini. Simbiosis ini telah terbukti boleh dan telah berjaya dilakukan di negara-negara seperti Jerman, Austria, dan negara-negara lain di Eropah (Leong, Narunan, & Sim, 2010; Loose, Spottl, & Sahir, 2008). Namun, sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat, potensi modal insan di negara ini seharusnya dibangunkan berpandukan kepada nilai-nilai universal agama Islam supaya negara kita boleh terus maju ke hadapan mengikut acuan negara kita sendiri seperti mana yang terkandung di dalam FPK (Baba, 2011; PPK, 1988). Hal ini turut ditegaskan oleh Daud (2005) dalam penulisannya yang berkaitan dengan Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam; apa sahaja yang mempunyai perkaitan dengan pendidikan atau latihan, sama ada cita-cita atau tujuan peringkat kebangsaan, kandungan kurikulum dan kaedah pelaksanaannya seharusnya menekankan kepentingan falsafah pendidikan yang bersifat menyeluruh dan tidak sama sekali dipisahkan daripada nilai agama dan hakikat kebenaran penciptaan manusia. Integrasi aspek kejiwaan ini kemudiannya ternyata akan mampu membawa manusia kepada kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga di dunia lain selepas dunia ini.

  RUJUKAN

  Aripin, M. A. (2012). Modul Pendekatan Pendidikan Integrasi Holistik Dalam Latihan Penguruan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Universiti Teknologi Malaysia.

  Universiti Teknologi Malaysia. Aripin, M. A., Hamzah, R., Othman, M. Z., & Norihan, I. S. (2011). Hala Tuju Pendidikan

  Teknik dan Vokasional: Integrasi Kaedah Avicenna dan Konsep Pendidikan Untuk Semua. Jurnal Teknologi (Sains Sosial), 56(Sept), 151–160. Baba, S. (2006). Pendidikan Rabbani; Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia. Karya Bestari Sdn Bhd. Baba, S. (2011). Tajdid Ilmu dan Pendidikan. Techknowlogic Trading Sdn Bhd. Borham, A. J., Abidin, A. F. M. Z., Ahmad, H., & Razak, M. A. (2011). Mengangkasa Modal Insan; Isu dan Cabaran. Penerbit UMP. Daud, W. M. N. W. (2005). Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas; Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Penerbit UM. Hamzah, R. (2010). Mengenal Manusia; Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti. Penerbit UTM. Ismail, H., & Hassan, A. (2009). Holistic Education in Malaysia. European Journal of Social Sciences, 9(2), 231–236. JPK. (2013). Laporan Tahunan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) 2012. Kuala Lumpur: JPK. KPM. (2008). Buku Manual Kajian Tindakan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. KPM. (2011). Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional. Kementerian Pendidikan Malaysia. Leong, P. C., Narunan, R., & Sim, S. (2010). Background Paper For Malaysia: Skills

  Development in The Workplace in Malaysia. ILO/SKILLS-AP/Japan Regional Technical

  Workshop and Study Programme on Skills Training in the Workplace Overseas Vocational Training Association, Chiba, Japan, (February).

  Leong, P. C., Yunos, J. M., & Spottl, G. (2009). Comparative Review Of The National Occupational Skills Standard (Noss) - Based Training System And The National Dual Training System (Ndts) In Malaysia: Issues And Themes. Malaysian Labour Review, 3(1), 110–138.

  Loose, G., Spottl, G., & Sahir, Y. M. (2008). “Re-Engineering” Dual Training – The Malaysian Experience. Deutsche Nationalbibliothek. Othman, A. (2005). The National Dual Training System : An Alternative Mode of Training for

  Producing K-Workers in Malaysia? In Human Resource Development: Practices and Directions for a Developed Malaysia (pp. 3–8). Penerbit UPM. Piaw, C. Y. (2012). Kaedah Penyelidikan. McGraw Hill (Malaysia) Sdn Bhd. PPK. (1988). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kementerian Pendidikan Malaysia. Sail, R. M., Aroff, A. R. M., Samah, A. A., Hamzah, A., Noah, S. M., & Kasa, Z. (2007).

  Sistem Latihan Dual Nasional; Buku Panduan Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

  Salleh, A. M. (2010). Pendidikan Kerjaya dan Pembangunan Modal Insan. Penerbit UKM. UNESCO. (2012). Transforming TVET- from idea to action. UNESCO-UNEVOC International Centre for Technical and Vocational Education and Training.

  Yunos, J. M., Ahmad, W. M. R. W., Kaprawi, N., & Razally, W. (2005). System of Technical & Vocational Education & Training in Malaysia (TVET) (pp. 1–13).

Dokumen baru
Aktifitas terbaru
Penulis
123dok avatar

Berpartisipasi : 2018-08-08

Dokumen yang terkait
Tags

Sistem Latihan Dual Di Malaysia Satu Per

Soal Latihan Ujian Nasional

4887655 Strategi Dual Pengembangan Kemampuan Industri Tik Nasional

Edaran Pemberitahuan Latihan Ujian Nasional Latihan Soal Ujian Nasional Smp

49663819 Pelaksanaan Metode Drill Latihan Siap

Sistem Energi Dalam Latihan

Sistem Kliring Nasional

Pembahasan Latihan Soal Ujian Matematika Nasional

Sistem Pesan Tren Sistem Nasional

Pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional

Gratis

Feedback